Nuffnang Ads (sila lah klik2 ye...)



Monday 18 November 2013

Sedikit kisah (Umar Al-Khattab)



Nama sebenar Umar Al-Khattab adalah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah Bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin Adi bin Kaab. Beliau berketurunan Arab Quraisy dari kabilah Bani Adi. Umar Al-Khattab terkenal dengan sikap bengisnya. Beliau terkenal kejam dan dilantik sebagai duta kaumnya untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Pengikut dari kabilah lain juga amat takut pada Umar. Malah,sebelum memeluk Islam, Umar pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Ini adalah pengakuan beliau sendiri kepada para sahabat setelah beliau memeluk Islam.

Nabi berdoa supaya Islam dikuatkan oleh Umar.

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian Rasulullah SAW. Pada waktu itu beliau berumur 27 tahun. Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar adiknya,Fatimah membaca Al-Quran,Surah Toha ayat 1-9 (sesetengah riwayat mengatakan Surah Toha ayat 1-5). Walaubagaimanapun, tindakan Umar memeluk Islam benar-benar telah menggemparkan masyarakat Quraisy. Ini disebabkan sebelumnya Umar adalah antara penentang kuat kepada ajaran Islam, bersama dengan Abu Jahal yang memang tidak dinafikan kebenciannya pada Islam. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Berkat doa Rasulullah SAW, Umar telah diberikan hidayah untuk menerima Islam. Rasulullah SAW berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam".( HR : At-Thabarani) Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab". Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : "Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata : "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar". Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : "Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?" Jawab Rasulullah SAW : "Benar" Aku berkata lagi : "Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?" Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua saf, satu aku dan satu lagi Saidina Hamzah. Maka semua orang kafir Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq. Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Umar mencabar kafir Quraisy menghalangnya dari berhijrah ke Madinah.

Ketika perintah Allah supaya umat Islam yang ketika itu dipulaukan oleh penduduk kafir Quraisy berhijrah ke Yathrib, ramai dikalangan umat Islam takut untuk berhijrah. Ada yang tidak mahu meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang tidak sanggup berpisah dengan sanak saudara. Dan paling ramai kerana takut dibunuh kafir Quraisy yang menghalang disetiap sempadan negeri Makkah. Jika ada umat Islam yang keluar pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar sendiri berhijrah secara sembunyi. Namun keberanian Umar Al-Khattab mengatasi segalanya. Beliau dengan nekad akan menyahut seruan Nabi SAW untuk berhijrah ke Yathrib. Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya. Kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati,apalagi untuk bertanya sesuatu kepada Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat. Selesai solat, Umar berdiri di sisi Makam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kafir Quraisy. kata Umar: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini”.

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata.

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajak mereka beradu senjata.

Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Umar menjadi khalifah

Pada tahun ke 13 Hijrah bersamaan 634 Masihi, Saidina Umar Al-Khattab telah dilantik menjadi khalifah Islam yang kedua. Pelantikannya telah dicadangkan sendiri oleh Abu Bakar sebelum meninggal dunia. Para sahabat yang lain mengikut cadangan Abu Bakar kerana Umar sememangnya pilihan yang tepat untuk menjadi pemimpin Islam. Islam begitu gemilang di bawah pemerintahan Umar. Jajahan takluk Islam juga begitu luas sehingga ke Eropah dan melebihi separuh dari dunia. Selama pemerintahan Umar, kekuasaan Islam tumbuh dengan sangat pesat. Islam mengambil alih Mesopotamia dan sebahagian Parsi dari tangan dinasti Sassanid serta mengambil alih Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia dari pemerintahan Romawi (Byzantium). Sejarah mencatat banyak pertempuran besar yang menjadi awal penaklukan ini. Pada pertempuran Yarmuk, yang terjadi di Damaskus pada tahun 636 M, 20 ribu pasukan Islam mengalahkan pasukan Romawi yang mencapai 70 ribu dan mengakhiri kekuasaan Romawi di Asia Kecil bahagian selatan. Pasukan Islam lainnya dalam jumlah kecil mendapatkan kemenangan atas pasukan Parsi dalam jumlah yang lebih besar pada pertempuran Qadisiyyah (tahun 636M), di sungai Eufrat. Pada pertempuran itu, jeneral pasukan Islam yakni Sa`ad bin Abi Waqqas mengalahkan pasukan Sassanid dan berhasil membunuh jeneral Parsi yang terkenal, Rustam Farrukhzad. Pada tahun 637M, setelah pengepungan yang lama terhadap Yerusalem, pasukan Islam akhirnya mengambil alih kota tersebut. Saidina Umar diberikan kunci untuk memasuki kota oleh pendeta Sophronius dan diundang untuk solat di dalam gereja (Church of the Holy Sepulchre). Umar memilih untuk solat ditempat lain agar tidak membahayakan gereja tersebut. 55 tahun kemudian, Masjid Umar didirikan ditempat beliau solat.

Pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Jabatan-jabatan penting telah ditubuhkan. Beliau juga telah mewajibkan zakat ke atas kuda. Kalendar Islam telah diperkenalkan oleh Umar mengikut Tahun Hijrah. Malah pengumpulan nasakh Al-Quran juga bermula pada zaman ini,kerana Umar menyedari semakin ramai hafiz yang gugur syahid di medan perang. Begitu banyak kemajuan yang berlaku pada zaman pemerintahan Saidina Umar.

Saidina Umar, berjalan di malam hari untuk mengetahui derita rakyatnya.

Pada suatu malam, ketika Umar berjalan melihat keadaan rakyatnya bersama seorang pembantu melalui lorong-lorong kota Madinah, mereka bertemu dengan seorang wanita dan anak-anaknya duduk mengelilingi periuk besar di atas api. Anak-anak itu mengeluh kelaparan. Lalu Khalifah Umar mendekati keluarga itu bertanya kepada ibu itu apa yang terjadi, maka ibu itu menjawab anak-anaknya kelaparan kerana sudah 2 hari mereka tidak makan, yang dimasaknya hanyalah air dan batu supaya anak-anaknya boleh menunggu hingga tertidur. Umar bertanya kepada ibu tadi kenapa tidak diberitahu kepada Khalifah Umar?. Maka berkatalah ibu tadi: “Seharusnya dialah yang tahu keadaan kami, dia punya kuda dan juga ribuan tentera, seharusnya dia tidak boleh tidur nyenyak dirumahnya sementara rakyatnya seperti kami ini kelaparan dan kedinginan”, tanpa dia mengetahui orang yang ada dihadapannya adalah Khalifah Umar.

Mendengar jawapan itu Saidina Umar terus ke gudang menyimpan gandum dan mengambil satu karung gandum bersama minyak samin. Saidina Umar mengendong sendiri gandum dan minyak itu walaupun pembantunya melarang dan ingin membantunya membawa barangan tersebut. Umar berkata: "Apakah kamu ingin memikul dosaku di hari kiamat kelak?" , kemudian Umar ke tempat wanita itu membawa barangan tersebut dan menghidupkan api serta memasak gandum yang dibawa bersamanya. Kemudian Saidina Umar r.a meminta perempuan tersebut mengejut anak-anak nya untuk makan makanan yang telah dimasaknya,sebelum berlalu Saidina Umar meminta wanita itu datang ke pejabat khalifah untuk mendapatkan bantuan segera, pagi harinya wanita itu pergi ke pejabat khalifah dan dia sangat terkejut kerana orang yang membantunya semalam adalah Saidina Umar bin Al-Khattab. Begitu juga kisah Umar berjalan di malam hari, pada suatu ketika Umar r.a sangat tertarik dengan seorang anak gadis yang enggan mencampurkan susu dengan air kerana takutkan Allah. Bahkan Umar melamar gadis itu untuk puteranya,Ashim bin Umar.

Tangisan Khutbah Saidina Umar, mimpi Saidina Umar dan kematiannya

Pada suatu hari dalam tahun 23 Hijrah, Saidina Umar yang sedang memberikan khutbah Jumaat dengan tidak semena-mena menangis. Para sahabat kehairanan, namun membiarkan Umar menangis kerana tidak mahu mengganggu khutbah beliau. Selepas solat Jumaat, para sahabat bertanya kepada Umar kenapa beliau menangis secara tiba-tiba. Saidina Umar menceritakan perihal mimpinya kepada sahabat yang bertanya. Saidina Umar mengatakan dia akan sentiasa redha dengan apa yang akan berlaku. Kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa bersama dengan orang yang bertakwa. Pada suatu malam, Saidina Umar telah bermimpi kakinya dipatuk ular sebanyak 3 kali. Umar yang berasa pelik dengan mimpi itu lantas berjumpa dengan Jaafar bin Abi Talib r.a. kerana isteri Jaafar yakni Asma’ binti Umais terkenal dengan kebolehannya mentafsir mimpi.(Ada riwayat yang mengatakan ketika itu Asma’ adalah janda Jaafar,bukan isterinya). Mengikut tafsiran Asma’ binti Umais, Saidina Umar akan ditikam sebanyak tiga kali dan beliau mungkin akan terkorban kerana itu. Umar pulang ke rumah setelah mendengar perkabaran itu. Pada keesokkan harinya, iaitu sabtu. Umar menjadi imam bagi solat subuh (pada zaman itu pemimpin negara adalah pemimpin dalam setiap solat). Pada hari sabtu, kebiasaannya Saidina Umar akan membaca Surah Yusuf pada rakaat pertama. Sehingga sampai pada ayat 84 yang berkisarkan kisah Nabi Ya’kub yang bersedih kerana kewafatan Yusuf yang terbunuh, Umar kembali menangis untuk beberapa ketika. Kemudian, Umar rukuk dan pada ketika inilah datangnya Abu Lukluk, seorang hamba yang baru dimerdekakan meluru ke arah Saidina Umar dan menikam sebanyak tiga kali. Hamba tersebut menikam belakang Saidina Umar. Crut! Tikaman yang pertama. ALLAHUAKBAR! Itulah lafaz yang keluar dari mulut Saidina Umar. Crut! Tikaman yang kedua. ALLAHUAKBAR! Crut! Tikaman yang ketiga. ALLAHUAKBAR! Umar tetap mengagungkan Allah walaupun dalam kesakitan.

Abu Lukluk melarikan diri, Umar cuba meneruskan solatnya. Sami’allahulimanhamidah. Umar cuba untuk bangun Iqtidal. Dan ketika itu Umar terus rebah. Abdul Rahman bin Auf yang solat dibelakangnya berijtihad untuk meneruskan solat, Abdul Rahman lantas mara kehadapan menggantikan Umar sebagai Imam pada pagi itu. Beberapa sahabat yang lain membatalkan solat mereka untuk membantu Umar, beberapa yang lain berusaha mengejar Abu Lukluk, tetapi Abu Lukluk berjaya melarikan diri.

Beberapa ketika sahabat yang lain cuba membantu Saidina Umar Al-Khattab, namun takdir Allah telah menentukan Saidina Umar meninggal dunia ketika itu juga. Begitulah syahidnya seorang pembela Islam yang unggul. Syurga menanti kedatangan, kerana jika beliau tidak syahid sekalipun, Saidina Umar sememangnya salah seorang sahabat yang dijamin masuk syurga. Subhanallah.


Sumber dari : status Kami Peminat Ustaz Azhar Idrus.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...